IKAN HIASAN - Ahmad Don


Menjadi anak yatim ketika berusia dua tahun membuatkan Ahmad Don cepat mengenal erti kehidupan dan belajar berdikari. Bayangkan, pada usia sekecil itu manakala adik bongsunya masih dalam kandungan ibu, bapa tercinta, Don Yusof, kembali ke rahmatullah. Berikutan itu ibunya, Mah Saud, 76, yang ketika itu berusia 22 tahun terpaksa menggalas tanggungjawab bagi membesarkan beliau tiga beradik dengan menoreh getah. Naluri mahu keluar daripada kepompong kemiskinan menyebabkan Ahmad terpanggil untuk berniaga. Ketika berusia belasan tahun dan selepas menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), beliau sering meluangkan masa menangkap ikan hiasan di sungai atau tasik Bukit Merah untuk dijual bagi mendapatkan duit poket.


“Saya datang daripada golongan miskin. Kehidupan masa kecil sungguh susah, menyebabkan saya rasa terpanggil untuk berniaga. Untuk pergi ke sekolah menengah yang jaraknya kira-kira 10 kilometer dari rumah, saya menumpang basikal kawan setiap hari sehingga dapat membeli basikal ketika di tingkatan tiga. “Disebabkan minat berniaga, sambil menyambung pelajaran ke tingkatan empat dan lima, saya mengisi masa lapang menangkap ikan hiasan untuk dijual kepada peniaga di Pulau Pinang. “Antaranya kelisa (arowana), lampam, kaloi, toman dan ketutu. Ada juga kelisa yang saya beli daripada kawan dengan harga RM12 dan kemudian saya jual RM15 seekor. “Waktu itu pun ikan kelisa mempunyai nilai tinggi berbanding ikan hiasan lain. Jika ikan hiasan lain berharga 10 hingga 20 sen seekor, kelisa yang berukuran enam hingga tujuh sentimeter berharga RM12 hingga RM15 seekor,” kata Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd (BMA) itu.


Menurut Ahmad, dia banyak mendapat tunjuk ajar selok-belok perniagaan ikan hiasan daripada peniaga Pulau Pinang yang turut membawanya menghantar ikan hiasan ke Singapura dan Thailand. “Ahmad, you tak payah bikin cikgu (awak tak payah jadi guru). You berniaga.” Itulah pesanan peniaga berkenaan yang masih diingatinya sehingga hari ini. Disebabkan galakan peniaga itu Ahmad semakin berminat dalam bidang ikan hiasan dan belajar mengenai perniagaan dan penjagaan ikan hiasan secara tidak formal daripadanya. Pada usia 20 tahun Ahmad mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam jurusan perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jalan Othman, Petaling Jaya. Selepas tamat pengajian pada 1983 beliau menyambung minatnya terhadap ikan dengan membuka perniagaan ikan hiasan.


“Bermodalkan RM10,000 daripada duit simpanan menjual ikan dan upah membuat sangkar burung, saya membuka perniagaan ikan hiasan dan haiwan peliharaan di Taiping. “Ketika mahu menjelaskan deposit kedai sebanyak RM1,800 saya melilau mencari di sana sini. Sukar untuk meminjam wang kerana orang tidak percaya perniagaan ini boleh maju. “Untuk menjimatkan kos, saya turut memohon kepada Mara supaya menurunkan sewa bulanan kedai daripada RM250 kepada RM180 dan usaha itu berjaya,” katanya. Kegawatan ekonomi pada 1988 dan 1999 memberi impak besar kepada Ahmad yang ketika itu turut mengusahakan syarikat pembinaan. Beliau kerugian kira-kira RM600,000 dan pengalaman itu menjadi iktibar kepadanya.


Pada 2000 Ahmad menutup syarikat pembinaan itu, diikuti kedai ikan hiasan dan akuarium pada tahun berikutnya kerana mahu menumpukan 100 peratus kepada pembiakan ikan kelisa yang juga ikan hiasan termahal di dunia. Beliau mengusahakan pembiakan kelisa di kolam di tanah pusaka peninggalan bapanya seluas 0.202 hektar (dua ekar). Secara berperingkat-peringkat, beliau meluaskan perniagaan dengan membeli tanah seluas 197 hektar untuk membina kira-kira 700 kolam. BMA mengkhusus kepada pembiakan kelisa emas Malaysia iaitu spesies kelisa paling mahal manakala Bukit Merah ialah tempat paling sesuai bagi pembiakan kelisa spesies berkenaan kerana kawasan itu adalah habitat asalnya. Turut dibiakkan ialah kelisa merah, emas Indonesia, Malaysia high back, hijau dan perak. Katanya, kira-kira 30 tahun dulu seekor ikan kelisa dijual dengan harga RM12, tetapi sekarang harganya mencecah RM1,800 seekor (bagi anak ikan berukuran tiga hingga empat inci).


“Bezanya dulu saya tangkap ikan kelisa dan jual, tetapi sekarang ikan ini dibiakkan. Walaupun banyak berjaya dibiakkan, ia masih tidak mampu menampung permintaan dari Asia dan Eropah,” katanya. Harga pasaran bagi jualan anak ikan bersaiz tiga hingga empat inci ialah RM2,500 seekor bagi emas Malaysia, merah cili (RM2,500), super red (RM1,800), high back Golden (RM550), banjar red (RM180), hijau (RM100) dan perak (RM20). Jualan ikan pra matang iaitu berusia satu hingga dua tahun ialah setinggi RM9,000 seekor bagi emas Malaysia manakala harga terendah ialah kelisa perak berharga antara RM450 hingga RM500 seekor. Bagi menambah pengetahuan serta mengintai pasaran baru, Ahmad yang sering ke China kerana urusan perniagaan ikan kelisa pernah mengunjungi pameran ikan hiasan di Perancis, Jerman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).


Melalui BMA, beliau juga bersedia berkongsi perniagaan dengan individu berminat menerusi sistem pawah. “Bagi menghasilkan benih atau baka bermutu, ikan berkenaan dipelihara di kolam BMA dan syarikat membekalkan makanan dan penjagaan untuk tempoh lima tahun. Selepas lima tahun, rakan kongsi boleh mengambil semula ikan berkenaan atau terus dipelihara di kolam BMA. “Kita kena kreatif dalam perniagaan dan sentiasa memikirkan strategi terbaik selain mengatasi masalah kawalan harga. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, kelisa masih ada pasaran yang baik. Bukit Merah adalah tempat terbaik bagi membiak kelisa di Malaysia, malah juga di dunia.


“Emas Malaysia yang juga spesies kelisa paling mahal berasal dari sini manakala kelisa hijau dari Kedah. Di Taiwan dan China misalnya, walaupun kelisa mempunyai pasaran bagus, ia tidak sesuai diternak kerana mempunyai cuaca empat musim,” katanya yang juga perintis bagi pembiakan ikan kelisa di Bukit Merah. Kaya dengan pengalaman memelihara ikan itu sejak remaja, beliau tidak lokek memberi tunjuk ajar atau khidmat nasihat kepada pengusaha lain. Sejak 2006 jumlah pengusaha kelisa di Bukit Merah semakin bertambah seperti cendawan tumbuh lepas hujan iaitu mencecah kira-kira 30 pengusaha.


Sementara itu lebih 100 peserta menyertai sistem pawah BMA yang mengenakan syarat terikat selama lima tahun bagi memastikan pengeluaran ikan berkenaan konsisten. “Saya fikir, kalau hendak tunggu hasil atau buat pinjaman bank, tentu perniagaan berjalan dengan perlahan. Disebabkan itu saya usaha cara lain dan inilah (sistem pawah) yang saya amalkan. Cara ini juga dapat membantu ramai rakan kongsi,” katanya.

 Profil Usahawan Kreatif


Nama: Ahmad Don
Umur: 54 tahun
Asal: Semanggol, Perak
Jawatan: Pengarah Urusan Bukit Merah Aquaculture (M) Sdn Bhd
Isteri: Norsiah Hasan
Anak: Normazlina (26), Iskandar Zulkarnain (21) dan Iskandar Ar-Rahman (15)

        
                                                           
Tips Usahawan Kreatif

Sasar 1000 Kolam Ikan
 
Lapan tahun menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembiakan baka ikan kelisa berkualiti tinggi, usaha Ahmad ternyata membuahkan hasil. Tidak sia-sia beliau mengutip pengalaman mengenai penjagaan ikan kelisa sejak usia belasan tahun lagi. Mensasarkan Bukit Merah Aquaculture (BMA) sebagai pengeluar utama bagi ikan kelisa emas Malaysia yang berkualiti tinggi untuk pasaran dunia, Ahmad kini dalam proses menambah jumlah kolam ikan daripada 700 kepada 1,000 kolam.

Menjelang tahun depan, Ahmad mensasarkan pengeluaran 50,000 anak ikan kelisa setahun bagi memenuhi pasaran luar negara. “Buat masa ini kita cuma mampu menampung peratusan kecil permintaan dari luar negara iaitu dengan pembiakan kira-kira 30,000 anak ikan setahun. “Pembenihan perlu dilakukan dengan teliti kerana kita tidak mahu anak ikan luka dan cedera. Anak ikan dijaga dengan rapi iaitu dipelihara dalam inkubator sehingga telur kuning yang menjadi makanannya habis, baru ia dilepaskan ke dalam kolam asuhan,” katanya. Ahmad turut membina kolam ternakan kelisa di Kuala Kangsar. Lokasi baru itu mempunyai 230 kolam dan menjelang tahun depan jumlahnya mencecah lebih 300 kolam bagi membantu belia menerusi sistem pawah.

“Walaupun sebelum ini saya banyak menempuh cabaran dalam pembiakan ikan kelisa seperti ikan mati ketika dialihkan kerana sensitif dengan perubahan air, menjualnya pula begitu mudah kerana ia mempunyai pasaran besar,” katanya yang melihat potensi besar dalam perniagaan itu sejak lebih 30 tahun lalu. Ketika bersembang dengan anaknya, Iskandar Zulkarnain, 21, Ahmad sering memberi tips perniagaan dan pendedahan bagi merangsang minat anaknya dalam perniagaan itu. Iskandar Zulkarnain yang kini menuntut dalam bidang mekatronik di Australia banyak diberi pendedahan, termasuk mengikut beliau ke pameran ikan hiasan di luar negara.

“Anak menunjukkan minat dalam perniagaan ini. Selain Iskandar, anak sulung, Normazlina yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah kedoktoran dalam bidang perakaunan turut berperanan mengendalikan urusan perniagaan.

“Saya memberi gaji kepada anak dan isteri kerana mereka sama-sama menyumbang tenaga membangun dan memajukan syarikat. Pada masa terluang, saya akan meninjau kolam ikan. Isteri dan anak tidak ambil kisah kerana mereka bukan saja memahami tetapi juga menunjukkan minat sama,” katanya. Bagaimanapun, seorang lagi anaknya, Nor Aishah yang juga kembar Normazlina tidak sempat melihat kejayaannya kerana meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan kereta ketika masih menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada 2003. Menggajikan kira-kira 50 pekerja dengan 80 peratus daripadanya adalah pekerja tempatan yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya, perniagaan itu secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.