Adrian Yeoh
Usahawan Ikan Ketutu
Ikan Ketutu
Kepakaran dalam bidang profesional masing-masing mendorong golongan tersebut memanfaatkan apa yang mereka miliki untuk diaplikasi dalam bidang pertanian.
Ketika pertanian telah mula mendapat sambutan, golongan profesional seperti akauntan, peguam, malah jurutera sekali pun tidak mahu ketinggalan merebut peluang untuk memanfaatkan kemahiran mereka dalam bidang tersebut.
IKAN ketutu selesa tinggal dalam `rumah kondo’ menunggu mangsa ikan kecil yang berenang di hadapannya.
Golongan jurutera sebagai contoh, sama ada awam, mekanikal, kimia atau jentera - berpendapat mereka boleh mengaplikasikan apa yang dipelajari untuk ‘memudahkan lagi’ industri pertanian.
Contoh terdekat boleh di ambil ialah bagaimana Adrian Yeoh, berkelulusan dalam bidang kejuruteraan awam dari Universiti Central Oklahoma, Amerika Syarikat (AS), memulakan kerjaya sebagai jurutera binaan.
Beliau bagaimanapun tidak betah bertugas sebagai jurutera yang disifatkannya penuh dengan tekanan.
Pada masa yang sama, Adrian berjinak-jinak dengan teknologi maklumat dengan melayari Internet atas tujuan mencari bidang-bidang lain yang boleh diceburi.
Beliau tidak mengambil masa lama, sebaliknya dalam tempoh dua tahun, Adrian menjalankan kajian mengenai bidang pertanian dan komoditi termasuk akuakultur dan kelapa sawit.
Setelah membanding pelbagai jenis industri, hati Adrian terpaut dengan akuakultur yang menurut katanya menguntungkan dibanding dengan bidang pertanian lain.
Bidang perikanan, menurut kata Andrian, mempunyai banyak potensi memandangkan ia merupakan sumber protein utama.
Mengkaji pelbagai jenis ikan air tawar yang berpotensi termasuk keli, tilapia, kelah dan ikan ketutu, Andrian meneliti lebih lanjut mengenai pemakanan, kelakuan dan pasaran setiap jenis ikan.
“Menerusi pelbagai kajian yang dijalankan, saya mendapati ikan pemangsa ini lebih mudah diselenggarakan berbanding ikan lain.
“Ikan pemangsa yang hanya duduk diam ini mudah diternak jika kita tahu mengenai kelakuannya,” katanya.
Beliau yang juga pengarah VCA Aquafarm Sdn. Bhd., bertanggungjawab membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ikan ketutu.
Kajian yang memakan masa lima tahun, membantu beliau menternak ikan ketutu dengan lebih sistematik dengan reka bentuk kolam yang sesuai untuk tumbesaran ikan.
Rekaan kolam yang mengambil masa lima tahun untuk disiapkan menggunakan kolam gentian kaca yang tahan sehingga 30 tahun.
Gambar diatas menunjukkan habitat ikan ketutu membiak
“Saya lebih gemar menggunakan gentian kaca kerana ia lebih tahan lasak dan boleh diselenggara dengan mudah jika pecah atau bocor,” katanya yang membelanjakan lebih RM1 juta bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Adrian juga mereka bentuk penapis kolam dengan 12 lapisan bagi memudahkan penternak menukar air hanya dua tahun sekali.
Kolam yang sebesar empat kali lapan kaki ini boleh menampung sehingga 300 ekor ikan ketutu pada satu-satu masa.
Adrian berkata, ikan ketutu cepat membesar jika mendapat pemakanan yang mencukupi.
“Bagi memudahkan ikan mendapatkan makanan yang mencukupi saya telah mendirikan ‘kondo’ bagi kediaman ikan,” katanya yang mereka bentuk kolam ternakan yang murah serta mudah alih.
‘Kondo’ yang disusun berhampiran bukan saja sebagai tempat berehat ikan ketutu tetapi juga membolehkan ikan mendapatkan makanan dengan mudah.
Ikan ketutu lebih senang berehat dalam ‘kondo’ yang disediakan dan hanya akan makan jika anak-anak ikan berhampiran dengannya.
“Setiap rumah boleh memuatkan seekor atau dua ekor ikan dengan jarak antara kondo yang agak dekat.
“Oleh kerana ikan ketutu adalah ikan yang pemalas, tinggal di ‘kondo’ akan memudahkannya mendapatkan makanan,” katanya.
Biasanya anak-anak ikan yang berenang di sekeliling akan mudah untuk dijadikan mangsa ikan ketutu.
Disebabkan ikan ketutu tinggal di kawasan dasar lombong, tasik atau sungai yang gelap, Adrian menyediakan habitat yang lebih kurang sama.
“Biasanya pada siang hari, saya akan membiarkan persekitaran agak gelap dengan menutup semua pintu dan tingkap.
“Ketika itu ikan ketutu akan lebih cergas mencari makanan dan tumbesaran akan menjadi lebih cepat,” katanya.
Lebih menarik Adrian berjaya mengurangkan penggunaan antibiotik pada ikan dengan menggantikannya dengan rawatan alternatif.
“Di sini saya menggunakan teknologi ultra lembayung (UV) untuk membasmi kuman sehingga 99.9 peratus,” katanya yang telah mempatenkan semua rekaannya.
Berdasarkan kajian yang dijalankan, Adrian mendapati ikan ketutu merupakan antara ikan komersial yang mendapat permintaan dan harga yang tinggi.
“Saya sendiri tidak dapat memenuhi permintaan ikan ketutu di dalam negara terutama semasa Tahun Baru Cina dan musim perkahwinan yang biasanya semasa cuti sekolah.
“Permintaan ikan ketutu di luar negara seperti Hong Kong, Taiwan, China manakala negara seperti Jerman, Libya dan Kanada mempunyai potensi pasaran yang besar,” katanya.
Sentiasa memandang ke hadapan Adrian sedang menjalankan R&D bagi proses ternakan ikan yang menepati HACCP untuk memudahkan pengeksportan keluar negara terutama di negara-negara Eropah.