YONG TAU FOO - Syed Abdullah


Hikmah Food Specialities Sdn.Bhd (482706V),
No.19 & 21, Jalan TIB 1/9, Taman Industri Bolton,
61800, Batu Caves Selangor, Malaysia.

Managing Director :  En.Syed Abdullah Syed Hassani
Tel                   : 019 328 2235
Fax                  : 03- 6184 2512
E-mail             : hikmah.food@yahoo.com
 
En.Syed Abdullah Syed Hassani, 49, berkelulusan Sarjana Perniagaan (MBA) dengan pengkhususan kewangan Bachelor Sains Perniagaan Tani & Diploma Pertanian. 
Dahulunya beliau merupakan golongan korporat dan pernah berkerja sebagai Pegawai Pelaburan (Lembaga Tabung Angkatan Tentera ), Ketua Jabatan Kewangan Korporat (Kumpulan Utusan Melayu), dan yang terakhir sebagai Pegawai Eksekutif Kanan Perancang Korporat (KLCC Holdings)

Menyedari makanan tradisi kaum Cina iaitu yong tau foo kurang dihasilkan oleh syarikat bumiputera, seorang pegawai kanan kewangan di sebuah entiti korporat terkemuka meninggalkan kerjaya lumayannya. Meskipun tidak memiliki sebarang pengetahuan dalam bidang penghasilan makanan, Syed Abdullah Syed Hassani bersama dua rakan yang lain terpaksa melupakan kekangan itu. Mereka menyifatkan, ia satu bidang perniagaan berpotensi kerana yong tau foo merupakan salah satu menu istimewa yang diminati kaum melayu

Sehubungan itu, Hikmah Food Specialities Sdn. Bhd. (Hikmah Food), ditubuhkan dan ia terlibat dalam aktiviti pembuatan pelbagai bebola dan kek ikan serta bahan lain yang berkaitan dengan menu makanan popular itu. ."Saya mahu mencari kelainan," katanya mengakui yang bukan tidak ramai kawan-kawan mencadangkan perniagaan biasa seperti tom yam, tetapi baginya yong tau foo halal keluaran seorang melayu, banyak potensinya. "Susah untuk mencari yang halal pada mulanya dan masalah ini saya jadikan peluang untuk saya memajukan perniagaan," katanya sambil menceritakan untuk sampai ke tahap yong tau foo keluaran syarikatnya dikenali, tidak semudah yang dijangka. Bapa kepada empat orang anak dan tinggal di Seremban ini mengakui tidak ada ilmu asas membuat yong tau foo, Oleh itu beliau mencari rakan kongsi - seorang peniaga pasar malam Zainon Hashim dan Low Pik Woon yang pernah bekerja di kilang tauhu semasa kecil. Bahkan untuk mendapatkan pinjaman memulakan perniagaan ini juga Syed Abdullah terpaksa bersusah dahulu kerana pertamanya pada tahun 1999 (tahun beliau memulakan perniagaan) adalah waktu kemelesetan ekonomi mula menjengok, kedua, beliau seorang melayu yang mahu berniaga barang yang bukan tradisi orang Melayu dan ketiga, beliau tidak ada trek rekod berniaga sedangkan bank-bank begitu memilih ketika itu."Pernah pada mulanya saya ke sebuah cabang pelaburan kerajaan membawa kertas kerja, tapi belum pun sempat nak tunjuk, saya sudah dileteri lebih setengah jam... orang Melayu tidak tahu berniaga...," katanya.

BELAJAR DARIPADA KESILAPAN SENDIRI
Perniagaan beliau bermula dengan sejumlah modal sendiri dan RM100,000 pinjaman daripada Bank Pertanian (Agro Bank) untuk menyewa lot bangunan dan menyediakan bilik sejuk. Low Pik Woon pada mulanya cuba mengajar pekerja asas membuat bebola ikan sementara Syed Abdullah menjalankan pelbagai tugas.Beliaulah bos, beliau jugalah pekerja yang membancuh bahan ikan dan menggoreng. Dalam masa yang sama beliau berusaha mencuba pelbagai cara dan resepi sendiri untuk menghasilkan yong tau foo terbaik, lengkap dengan rempah sup, kuah manis dan kuah cilinya. "Mula-mula mencuba, banyak bahan yang terbuang, kena marah dengan pelanggan pun ada, kerana pekerja saya tak pandai hendak kawal kualiti. Kuah hangus dan sebagainya. "Saya bekerjasama dengan beberapa pengusaha Cina melalui cara membantu mereka mengamalkan proses yang betul untuk mendapatkan sijil halal dan dalam masa yang sama saya belajar daripada mereka. Tapi biasalah masing-masing ada resepi rahsia sendiri," jelas beliau. Selepas empat tahun, baru orang mula mengenali produk yong tau foo Hikmah dan Syed Abdullah sudah memberanikan diri membuat pemasaran sendiri, menyertai pameran, membeli mesin baru dan membesarkan premis pengeluaran dan jualan di Taman Industri Bolton, Batu Caves. Syarikat ini mengilang dan mengedar bahan yong tau foo menggunakan kira-kira 500kg ikan sehari dan jualan mencecah RM250,000 hingga RM300,000 sebulan. "Margin untung saya kecil sebab saya perlu ikut pemintaan dan pasaran dalam menetapkan harga dan sebagainya," katanya. Kini Hikmah Food Specialities mempunyai pekerja seramai 40 orang dan sebuah cawangan di Subang. 

BERPINDAH KE TEMPAT BARU
Syarikat ini akan berpindah ke premis baru yang lebih besar di Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) di Kampung Batu Muda, Batu Caves, kemungkinan akhir tahun ini bersama 17 pengusaha Industri Kecil dan Sederhana yang lain. Syed Abdullah melabur RM3 juta untuk membeli mesin baru dan sebagainya untuk premis barunya. Beliau memang menantikan peluang yang diberikan Mara ini untuk mengembangkan sayap perniagaannya termasuk ke luar negara, mengedarkan produknya ke pelbagai cabang - hotel, restoran, lebih banyak pasar raya dan sebagainya. Dalam hal ini beliau berazam untuk maju dalam saingan dengan mendapatkan pensijilan HACCP (Hazard Analysis Critical Point) dan GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik) melalui Kementerian Kesihatan. Syed Abdullah yang memiliki ijazah dan sarjana kewangan dan perniagaan, berharap pengiktirafan itu akan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk yong tau foonya dan membantu beliau meluaskan pasaran. 

STATUS HALAL DIPELIHARA
Syed Abdullah kini boleh berbangga kerana produk yong tau foo halalnya sama standard dengan produk di pasaran. Katanya dalam memastikan produk yong tau foonya 100 peratus halal, beliau tidak menggunakan bahan kimia yang tidak menentu atau plasma (protein darah haiwan) yang boleh melikatkan dan melembutkan tekstur bebola atau kek ikan. "Saya sudah biasa menerima komen perbandingan seperti ini, kenapa bebola orang lain berkilat dan putih, rasa tidak sama dan sebagainya dan setiap kali itu saya akan menambah baik produk saya di mana yang boleh tetapi untuk mengabaikan proses halal, saya tidak buat," katanya.

SOKONGAN ORANG MELAYU
Ada sedikit kekecewaan ketika beliau menceritakan mengenai proses beliau belajar sampai boleh berdiri dan kini sudah bersedia untuk berlari dengan pengusaha yong tau foo yang lain. Pertama, tunjuk ajar susah didapatkan, baik daripada pesaing kaum lain, mahupun sokongan orang Melayu untuk membekalkan bahan dan produk halal, ejen penjual atau promoter. "Saya menghadapi masalah pembekal tidak konsisten dan promoter Melayu tidak bersungguh," katanya.Syed Abdullah bercerita bagaimana pada satu ketika beliau mendapatkan bekalan telur puyuh daripada seorang Melayu (beliau memerlukan 30,000 hingga 40,000 biji telur puyuh sehari), masuk bulan ketiga, orang itu gagal membekalkan jumlah yang dijanjikan dan terpaksa bergantung kepada pembekal bukan Melayu dan promoter yang digajinya di pasar raya pula adakalanya tidak datang membuka stesen mereka dan akibatnya beliau akan dimarahi pihak pasar raya yang sudah tentu tidak mahu mendengar masalah. Syed Abdullah juga pernah cuba menolong siswazah Melayu berniaga bahan yong tau foo yang beliau bekalkan, tetapi tidak kekal lama. Untuk ejen pembekal di negeri-negeri pula, syarat beliau ialah mereka perlu keluar modal sediakan bilik sejuk dalam anggaran RM20,000 tetapi ramai yang tidak sanggup kerana mereka takut rugi. Kenapa tidak menumpang saja stokis makanan beku jenama Melayu terkenal yang ada?. Syed Abdullah jelas menyimpan perancangan sendiri. "Saya tidak mahu menjadi barisan kedua, kerana cita-cita saya mahu memastikan jenama yong tau foo saya teguh dan ada tempat sendiri," katanya. Dalam masa yang sama beliau juga menghadapi pesaing Cina yang mempunyai modal besar yang mengawal pembelian bahan ikan kerana ada di antara mereka mempunyai jeti sendiri. Oleh itu, kata Syed Abdullah, beliau berusaha keras mencari bekalan yang tetap dan terbaik umpamanya beliau kini berunding dengan nelayan di jeti Tok Bali Kelantan untuk mendapatkan bekalan ikan kecil seperti kelisi bagi bahan suriminya.

CITA-CITA BANTU PEKERJA SENDIRI
Syed Abdullah bagaimanapun tidak pernah lemas bergerak perlahan untuk berjaya kerana "saya anggap saya dalam larian maraton, perlahan tetapi tidak mengalah". Hasrat utama Syed Abdullah kini ialah memajukan perusahaan yong tau foo berasaskan ikannya di Batu Caves, produk berasaskan soya (tauhu) di Subang dan koay teow di Seremban. Dalam proses itu beliau tidak lupa melatih beberapa pekerjanya dalam usaha membesarkan perniagaannya supaya satu hari nanti, katanya, mereka juga boleh menjadi pengusaha yong tau foo Melayu dan rakan kongsinya.

Rujukan : http://hikmahfood.blogspot.com